Sembilan pembaziran tanpa disedari

 

IBNU Qayyim al-Jauziyah, ulama dan tokoh gerakan dakwah Islamiah ialah murid ulama terbilang, Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyah. Beliau mempunyai banyak karya ilmiah yang menjadi panduan dalam gerakan dakwah Islam.

Ibu Qayyim dilahirkan pada tahun 691 Hijrah (1292 Masihi) dan meninggal dunia pada 751 Hijrah (1350 Masihi)

Ibnu Qayyim al-Jauziyah mengatakan ada sembilan pembaziran yang sering dilakukan manusia iaitu :-


Ilmu pengetahuan.
Membazir jika tidak diamalkan untuk jalan kebaikan.


Amalan.
Membazir jika dilakukan tidak dengan hati yang ikhlas.


Kekayaan.
Membazir jika dibelanjakan pada perkara yang tidak bermanfaat dan tidak diredai Allah.


Hati.
Membazir jika kosong daripada kasih kepada Allah.


Tubuh badan.
Membazir jika tidak digunakan untuk beribadah kepada Allah.


Cinta.
Membazir jika dicurahkan kepada selain Allah atau melebihi cinta kepada-Nya.


Masa.
Membazir jika tidak diurus sebaiknya.


Akal.
Membazir jika tidak memikirkan sesuatu yang bermakna kepada agama.


Zikir.
Membazir jika tidak memberi kesan kepada hati.

Menurut Ibn Qayyim al-Jauziyah dalam Madarij al-Salikin, waktu tidur yang lebih baik adalah pada pertengahan malam yang awal iaitu kira-kira jam 10 malam.

Waktu yang tidak seharusnya kita tidur adalah selepas waktu Subuh sehingga terbit fajar, waktu selepas Asar sebelum terbenam matahari dan dari waktu Maghrib ke Isyak.

Beliau berkata, tidur pada waktu itu tidak memberi manfaat kepada tubuh badan, malah boleh mendatangkan kemudaratan dan makruh hukumnya.





Manusia tempuh tiga peringkat alam

 

KEHIDUPAN ini ditakdirkan Allah sebagai satu pengembaraan yang jauh iaitu bermula di alam arwah dan akan berakhir di alam akhirat. Oleh itu, Nabi Muhammad saw mengingatkan dengan sabdanya bermaksud: “Jadikanlah dirimu di dunia ini sebagai musafir atau orang yang dalam perjalanan.” (Hadis riwayat Ibn Umar)


Manusia sebenarnya menempuh dua alam, yang kedua-duanya sudah ditinggalkan. Ia adalah alam “arwah” dan “arham” Kita sedang berada di alam ketiga iaitu alam “musyahadat” atau alam dunia.

Pada alam arwah, jasad belum terjadi. Apa yang ada, hanya roh ciptaan oleh Allah. Di sini, roh diberi suntikan akidah keimanan kepada Allah. Ia sebagai bekalan terpenting dalam pengembaraan seterusnya supaya selamat dan berjaya.

Roh kemudian berpindah ke dalam jasad setelah terbentuk dalam rahim ibu. Di alam kedua ini (kandungan ibu), dirasakan amat rileks sekali atau dalam keadaan istirahat, tiada perjuangan dan tiada cabaran.

Kini kita berada di alam dunia. Sesungguhnya kewujudan di alam dunia ini bukan untuk berhibur, tetapi memikul amanah Allah untuk beribadat kepada-Nya. Begitu juga melakukan amal saleh dan kebajikan untuk manfaat diri, keluarga, Islam dan umatnya serta makhluk lain.

Segala kegiatan di dunia ini hendaklah dijiwai nilai akidah dan syariat dengan niat untuk menjunjung perintah Allah. Maka, dengan itu segala-galanya akan menjadi menjadi bekalan untuk dibawa ke akhirat.

Firman Allah bermaksud: “Berbekallah kamu, maka sebaik-baik bekalan adalah takwa dan bertawakallah kepada-Ku hai orang yang berakal” (Surah al-Baqarah, ayat 197)

Rasulullah bersabda bermaksud: “Dunia ini sebagai ladang untuk bercucuk tanam (tempat melakukan amal ibadat dan amal kebajikan), sedangkan hasilnya bakal dipetik di negeri akhirat nanti.”

Alam dunia yang kita alami kini adalah alam ketiga. Kita dalam perjalanan menuju ke alam keempat iaitu “alam barzakh” atau “alam kubur”. Apabila hari kiamat, kita akan masuk ke alam kelima atau alam yang terakhir iaitu “alam akhirat”.

Sebelum itu, kita dihimpunkan di Padang Mashyar untuk diadili dan dihisab segala amal perbuatan di dunia. Jika baik akan dibalas syurga, dan sebaliknya jika buruk akan dibalas dengan azab api neraka.

Allah mengingatkan untuk menyiapkan diri bagi menghadapi alam akhirat melalui firman-Nya bermaksud :

”Ketahuilah! Bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain, melainkan permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bauan hidup yang bertujuan) bermegah-megah antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak (semua itu terhad waktunya), samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur), menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman-tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang (disediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia) dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan daripada Allah (disediakan bagi orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain , hanya kesenangan bagi orang yang terpedaya.” (Surah al-Hadid, ayat 20)

Allah mengingatkan lagi melalui firman-Nya bermaksud:

”Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu siapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahan dan pangkat kebesarannya), tidak lain hanya kesenangan bagi orang yang terpedaya." (Surah Ali Imran, ayat 185)

Firman Allah lagi bermaksud:

”Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan oleh Allah kepadamu, akan pahala dan kebahagiaan pada hari akhirat; dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah), sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatnya yang melimpah-ruah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan.” (Surah al-Qisaas, ayat 77)


 



Amalan berzikir pelindung ketika perjalanan

BERZIKIR (mengingati Allah) dan membaca ayat suci al-Quran mempunyai banyak berkat dan fadilat. Ia juga antara usaha paling mujarab bagi melindungi diri daripada sebarang bahaya dan kejahatan sama ada manusia, jin atau syaitan ketika dalam perjalanan.

Kita perlu memohon perlindungan Allah. Antara amalan Rasulullah SAW dalam perkara ini adalah dengan membaca:


Surah al-Fatihah.

Surah al-Ikhlas (tiga kali)

Surah al-Falaq (tiga kali)

Surah al-Naas (tiga kali)

Surah Ghafir ayat 1 hingga 3

Surah al-Mukminun ayat 97 hingga 98

Sebelum keluar rumah hendaklah dibiasakan membaca:


Surah al-Fatihah

Ayat al-Kursi

Surah al-Quraisy

Doa ketika keluar rumah:

Maksudnya: “Dengan nama Allah aku bertawakal kepada-Nya dan tidak ada daya upaya dan kekuatan melainkan (daya upaya dan kekuatan) Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada perbuatan sesat atau disesatkan, atau daripada binasa atau dibinasakan, atau daripada zalim atau dizalimi atau daripada jahil (bodoh) atau diperbodohkan.”

Ketika menaiki kenderaan hendaklah dibiasakan membaca doa berikut, iaitu yang tafsirnya:

”Maha Suci Allah yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Allah kami akan kembali.” (Surah al-Zukhruf, ayat 13-14)

Jika dalam perjalanan hujan, guruh, angin dan kilat, maka Rasulullah menganjurkan kita supaya membaca:


Doa ketika hujan yang maksudnya: “Ya, Allah jadikanlah ia (hujan) sebagai hujan yang menyenangkan.”


Doa ketika mendengar guruh dan petir, maksudnya: “Ya Allah janganlah engkau matikan kami dengan kemurkaan-Mu dan janganlah engkau binasakan kami dengan azab-Mu dan ampunkanlah kami sebelum itu.”


Doa ketika angin bertiup kencang, maksudnya: “Ya Allah aku memohon kepada-Mu kebaikan (angin ini) dan kebaikan yang ada padanya dan kebaikan yang ada engkau utuskan bersertanya, aku memohon perlindungan-Mu daripada keburukannya dan keburukan yang ada padanya serta keburukan yang engkau utuskan bersertanya.”

Mudah-mudahan dengan membaca ayat, doa dan mengamalkan zikir mendapat berkat dan terhindar daripada sebarang malapetaka ketika berada dalam perjalanan.

Dalam kehidupan yang semakin sibuk serta pertambahan penggunaan kenderaan awam dan persendirian oleh masyarakat, amalan berzikir menjadi satu daripada usaha untuk mengelak kejadian tidak diingini sepanjang perjalanan, sama ada dekat atau jauh.

Zikir adalah santapan hati yang wajar dijadikan amalan oleh setiap orang Islam.

Golongan mukminin sepatutnya mengingati Allah sama ada ketika menerima nikmat dan kesenangan daripada Allah dengan mensyukuri nikmat-Nya. Semua amalan itu bertujuan mencari keredaan Allah SWT. Amalan itu juga boleh menenangkan diri serta reda akan apa yang berlaku selepas usaha sesuai diambil.

 



Wanita Itu Rumput Semalu

 

Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w berjalan-jalan bersama puteri baginda, Saidatina Fatimah r.a. Setibanya mereka berdua di bawah sebatang pohon tamar, Fatimah terpijak pohon semalu, kakinya berdarah lalu mengadu kesakitan.

Fatimah mengatakan kepada bapanya apalah gunanya pohon semalu itu berada di situ dengan nada yang sedikit marah. Rasulullah dengan tenang berkata kepada puteri kesayangannya itu bahawasanya pohon semalu itu amat berkait rapat dengan wanita. Fatimah terkejut. Rasulullah menyambung kata-katanya lagi. Para wanita hendaklah mengambil pengajaran daripada
pohon semalu ini dari 4 aspek.

Pertama, pohon semalu akan kuncup apabila disentuh. Ini boleh diibaratkan bahawa wanita perlu mempunyai perasaan malu (pada tempatnya).

Kedua, semalu mempunyai duri yang tajam untuk mempertahankan dirinya. Oleh itu, wanita perlu tahu mempertahankan diri dan maruah sebagai seorang wanita muslim.

Ketiga, semalu juga mempunyai akar tunjang yang sangat kuat dan mencengkam bumi. Ini bermakna wanita solehah hendaklah mempunyai keterikatan yang sangat kuat dengan Allah Rabbul Alamin.

Dan akhir sekali, semalu akan kuncup dengan sendirinya apabila senja menjelang. Oleh itu, para wanita sekalian, kembalilah ke rumahmu apabila waktu semakin senja.

Ambillah pengajaran dari semalu walau pun ia hanya sepohon tumbuhan yang kecil


 



Siti Hawa wanita paling cantik

 

SITI Hawa, namanya yang begitu serasi dengan Nabi Adam. Adam dan Hawa ialah manusia pertama yang diciptakan Allah. Siti Hawa ialah isteri pertama daripada seorang makhluk dan seorang nabi yang disebut kitab yang turun dari langit.

Nas agama serta buku tafsir tidak menyebut apa-apa mengenai sifat Siti Hawa. Ulama juga tidak sama sekali membabitkan diri dalam hal mengenai Siti Hawa disebabkan mereka terlampau menumpukan perbahasan di sekitar perkara kesalahan saja.

Tetapi, memang tidak syak lagi Siti Hawa wanita yang paling cantik di alam ini kerana Allah itu Maha Sempurna. Tentulah Dia tidak mencipta sesuatu, melainkan ciptaan itu sempurna dan cantik.

Siti Hawa satu-satunya wanita dicipta Tuhan semesta alam ini sendiri dan Dia melengkapkan padanya semua keindahan, kesempurnaan dan kecantikan.

Jelas, itu suatu hikmat yang tidak dapat dicapai pemikiran kita sama sekali serta bagaimana Adam dan Siti Hawa boleh melanggar perintah Allah.

Apabila berlaku saja maksiat itu, terdedahlah aurat kedua-duanya dan ternampaklah bentuk tubuh manusiawi dari Adam dan Siti Hawa. Lalu, mereka sibuk mencari sesuatu untuk menutup aurat masing-masing.

Firman Allah bermaksud: “Maka apabila mereka memakan buah dari pohon itu, terdedahlah aurat daripada kedua-duanya dan mereka pun sibuk menutup dirinya dengan daun-daun pohon syurga. Kedua-duanya pun diseru Tuhan mereka: Bukankah sudah Aku larang kamu berdua dari pohon itu, dan Aku nyatakan kepada kamu berdua bahawasanya syaitan itu musuh yang terang kepada kamu berdua.

”Mereka mengatakan: Tuhan kami! Kami menganiayai diri kami sendiri dan jika Engkau tiada mengampuni kami dan merahmati kami, nescaya kami menjadi orang yang rugi.

”Tuhan mengatakan: Pergilah kamu, sesetengah kamu akan menjadi musuh kepada setengah yang lain dan bumi itu akan menjadi tempat tinggal dan kesenangan kamu sampai ke masa yang ditetapkan. “Tuhan mengatakan lagi: Di bumi kamu akan hidup dan di bumi juga kamu akan mati dan daripada bumi pula kamu akan dibangkitkan nanti.” (Surah al-A’raf, ayat 22-25).

Siti Hawa ialah ibu kepada sekalian wanita. Dia juga isteri yang pertama diakui langit kepada seorang lelaki. Dia bukan saja isteri daripada makhluk dan nabi yang pertama di dalam alam ini, bahkan wanita pertama yang menderhaka. Dia juga yang pertama menghuni syurga dan keluar dari syurga. Siti Hawa juga isteri kepada khalifah yang pertama di muka bumi ini.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Aku menjadikan khalifah di muka bumi ini.” (Surah al-Baqarah, ayat 30).

Ishah kedua daripada Sifir Takwin mengkisahkan: Tuhan mewasiatkan Adam, katanya: “Semua pepohonan yang mengeluarkan makanan boleh engkau makan. Adapun pohon mengenal kebaikan dan kejahatan, janganlah kau makan daripadanya. Sebab jika kau makan daripadanya, mati akan menimpamu.”

Dan Tuhan berkata lagi: “Tiada bagus Adam tinggal sendirian begitu, jadikanlah baginya seorang pembantu sama sejenis dengannya. Kemudian Tuhan mengumpulkan semua binatang di muka bumi dan segala burung yang di langit, lalu Dia membawanya kepada Adam, supaya dia memanggilnya satu-satu.

Setiap yang dipanggil Adam dari yang hidup bernyawa, itulah namanya. Adapun memanggil nama semua binatang dan burung di langit dan semua binatang di hutan, tetapi untuk dirinya sendiri, dia tidak menemui pembantu sejenis dengannya.

Tuhan pun menimpakan tidur ke atas Adam, maka tidurlah dia. Lalu Tuhan mencabut satu daripada tulang-tulangnya dan disalutkannya dengan daging dan Tuhan membuat daripada tulang yang dicabut-Nya daripada Adam itu menjadi seorang wanita yang kemudian dibawa kepada Adam.

Lalu Adam berkata: Inilah dia sekarang tulang daripada tulang-tulangku, daging daripada dagingku dan inilah dia dinamakan wanita kerana dia daripada tubuhku sendiri.

Firman Allah: “Ingatlah, ketika Tuhanmu berkata kepada malaikat, bahawa Aku menciptakan manusia daripada tanah. Apabila Aku membentuknya menjadi sempurna, Aku tiupkan roh-Ku, hendaklah kamu sekalian tunduk merendah diri kepadanya. Semua malaikat tunduk merendah diri melainkan iblis saja yang menyombongkan diri dan tergolong orang yang kufur.” (Surah Shad, ayat 71-74)


 


 

Lelaki Kacak Hadis yang Menarik

Rasulullah (Sallallahu alaihi wasallam) bersabda : 'Bila seseorang lelaki itu mati dan saudaranya sibuk dengan pengebumiannya, berdiri lelaki yang betul-betul kacak di bahagian kepalanya. Bila mayatnya dikapan, lelaki itu berada di antara kain kapan dan si mati.

Selepas pengebumian, semua orang pulang ke rumah, 2 malaikat Mungkar dan Nakir, datang dalam kubur dan cuba memisahkan lelaki kacak ini supaya mereka boleh menyoal lelaki yang telah meninggal itu seorang diri mengenai ketaatannya kepada Allah. Tapi lelaki kacak itu berkata,

"Dia adalah temanku, dia adalah kawanku. Aku takkan meninggalkannya seorang diri walau apa pun. Jika kamu ditetapkan untuk menyoal, lakukanlah tugasmu. Aku tidak boleh meninggalkannya sehingga aku dapati dia dimasukkan ke dalam Syurga."

Selepas itu dia berpaling pada temannya yang meninggal dan berkata,'Aku adalah Al-Quran, yang mana kamu membacanya, kadang-kadang dengan suara yang nyaring dan kadang-kadang dengan suara yang perlahan. Jangan bimbang. Selepas soal siasat dari Mungkar dan Nakir, kamu tidak akan bersedih.'

Selepas soal siasat selesai, lelaki kacak mengatur untuknya daripada Al-Mala'ul A'laa (malaikat dalam Syurga) tempat tidur dari sutera yang dipenuhi bauan kesturi

Rasulullah (Sallallahu alaihi wasallam) bersabda :'Di hari pengadilan, di hadapan Allah, tiada syafaat yang lebih baik darjatnya daripada Quran, mahupun dari nabi atau malaikat.

 

 


 

Pesanan Nabi Muhammmad

 

Hadith Nabi Saw: "Tidak berkurang harta kerana sedekah, dan tiada seorang yang memaafkan suatu kezaliman melainkan Allah swt menambah kemuliaan, dan tiada seorang yang tawadhuk (merendah) kerana Allah swt, melainkan Allah swt menaikkan darjatnya." (Abu Hurairah r.anhu)

Hadith Nabi Saw: "Dermawan itu merupakan suatu pohon yang akarnya di syurga dan dahan-dahannya menurun ke dunia. Maka barangsiapa yang berpegang kepadanya akan ditarik ke syurga. Kedekut (kikir) itu pohon yang asalnya di dalam neraka sedang dahan-dahannya menurun ke dunia. Maka barangsiapa yang berpegang kepadanya akan ditarik ke neraka."
(Aishah r.anha)

Sedekah mengandungi 10 kebaikan:

Kebaikan di dunia

1) Membersihkan harta kekayaan
2) Membersihkan badan daripada dosa-dosa
3) Menolak bala dan penyakit
4) Menyenangkan hati orang miskin
5) Menjadikan berkat dalam harta dan meluaskan rezeki

Kebaikan di Akhirat

1) Sedekah itu menjadi naungan baginya
2) Sedekah meringankan hisab amalnya
3) Memberatkan timbangan amal kebaikannya
4) Memudahkan melintasi sirat
5) Bertambah darjat di syurga

Barangsiapa yang menolak lima pekara, maka Allah akan menolak lima pekara daripadanya iaitu:

1) Barangsiapa menolak zakat, Allah swt akan menolak keselamatan hartanya
2) Barangsiapa tolak sedekah, Allah swt akan mengurangi kesihatannya
3) Barangsiapa menolak zakat tanamannya, Allah swt akan menolak berkat tanahnya
4) Barangsiapa tidak suka berdoa, Allah tidak suka untuk menerimanya
5) Barangsiapa yang meringan-ringankan solatnya, Allah swt akan menolak
dari kalimah syahadah ketika matinya

 

 



Kelebihan Khusyuk Dalam Solat


1. Sebenarnya khusyuk dalam Solat adalah sangat-sangat dituntut seperti Firman Allah s.w.t. yang bermaksud .

“Telah berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk dalam sembahyangnya”[Surah Al-Mukminun: ayat 1-2].

Firman-Nya lagi:-

"Peliharalah segala sembahyangmu dan peliharalah sembahyang utama (Asar, Subuh) dan berdirilah untuk Allah (melalui solatmu) dengan khusyuk"

[Surah Al-Baqarah : ayat 238]

 

2. Solat adalah ibadah utama yang akan dihisab terlebih dahulu di akhirat oleh Allah SWT, berbanding dengan amalan-amalan yang lain. Sekiranya solat seseorang itu dalam keadaan sempurna, maka barulah dihitung pula amalan yang lain.

Firman Allah lagi:-

yang bermaksud : "Maka kecelakaanlah bagi orang-orang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya."

[Surah Al-Ma'un : ayat 4-5]

 

3. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Berapa banyak orang yang mendirikan solat, tetapi yang di perolehi hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam sembahyangnya."

Nabi s.a.w bersabda lagi yang bermaksud : "Tidak ada habuan bagi seseorang hamba dalam sembahyangnya kecuali sekadar mana yang ia ingat." Hadis lain dari Rasulullah s.a.w.

"Aku selalu mengingati mati dalam sembahyang". serta "Apabila kamu sembahyang anggaplah sembahyang ini sembahyang perpisahan". '

 

4. Yang dikatakan khusyuk itu ialah hati sentiasa hidup, untuk mengekalkan sembahyang yang khusyuk, amalan berikut perlulah diamalkan dan diperhatikan oleh setiap orang yang mengerjakan sembahyang:

1. Menjaga makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain supaya  datang dari punca yang halal tanpa syubhah.

2. Agar pemikiran tidak liar, sebelum solat lintaskan kematian seakan-akan amat hampir dengan kita serta solat tersebut merupakan sholat terakhir dan perlulah dijadikan yang terbaik.

3. Mendirikan sembahyang di awal waktu atau pertengahan waktu supaya tidak gopoh apakala masa hampir luput.

4. Membaca dengan baik (Khusnul Qori'ah), berusaha untuk memahami, mengerti bacaan dalam solat termasuk ayat Al-Quran yang dibacakan itu terutama sekali Al Fatihah, gerakan dan maknanya (Tafakhum). Ini kerana bacaan-bacaan dalam solat mengandungi banyak makna yang halus yang patut dimengertikan oleh orang yang melaksanakannya.


5. Rukun-rukun solat dilakukan secara tertib. Berusaha konsentrasi (Khudunul Kolbih), menyedari bahawa Allah memperhatikan sembahyang itu.

6. Rasa Malu (Haya') perasaan malu terhadap Allah s.w.t., rasa takut (Khauf) kepada kekuasaan Allah.


7. Berharap serta yakin (Optimis) Allah menerima solat dan amal kita.

8. Hati diajak hadir/ikut, kehadiran hati dalam solat iaitu mengosongkan hati dari segala urusan yang boleh mengganggu dan yang tidak berkaitan dengan solat.

9. Membesarkan Allah dalam solat, merasakan kehebatan Allah dalam solat.

10. Menggunakan sejadah yang tidak terlalu banyak gambar yang akan menghayalkan pemikiran.

11. Mendirikan sembahyang secara berjemaah.

12. Mengambil wuduk dengan sempurna.

13. Mengurangkan pergerakan anggota-anggota seperti tangan, kaki dan juga Mata ditumpukan kepada tempat sujud dan ketika tasahut melihat anak jari.

14. Azan dan iqamat terlebih dahulu walaupun mendirikan sembahyang bersendirian ataupun sekurang-kurangnya iqamat sahaja.

15. Ditegah bersembahyang dengan pakaian yang ada gambar, berwarna warni, bertulis, lukisan dan lain-lain kerana ia juga membuat orang lain hilang kekhusyukan ketika berjemaah. Walau apapun syarat khusyu’ yang paling utama ialah kemantapan iman dalam diri terhadap Allah SWT. Oleh sebab itu, berusahalah untuk mengenali Allah dan memperteguhkan keimanan kepadaNya. Sebenarnya, khusyuk di dalam sembahyang bermula dari khusyuk di luar sembahyang. Kalau di luar sembahyang hati tidak khusyuk dengan Allah, memang payah untuk khusyuk di dalam sembahyang. Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk solatnya adalah dikira sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain untuk mengingati Allah SWT, ia juga berfungsi sebagai alat pencegah dari perbuatan keji dan mungkar.

Apabila lalai ketika menunaikan solat bererti orang tersebut tidak akan berasa gerun ketika melakukan perkara keji dan mungkar. Menurutnya lagi bahawa solat itu merupakan "munajat" (berdialog dan berbisik) seorang hamba terhadap Tuhannya. Sayidina Ali k.w. boleh khusyuk dalam sembahyangnya hingga waktu orang mencabut panah di betisnya, dia tidak terasa apa-apa. Sayidina Umar Al Khattab pernah berkata, "Khusyuk itu bukan tundukkan kepala, tapi khusyuk itu dalam hati."

Kesimpulannya orang-orang yang takut kepada penciptanya dan menyedari ia hanyalah hamba akan patuh apasaja yang diperintahkan dan disampaikan oleh rasul serta akan khusyuk mendapat nikmat solat seperti firman Allah yang bermaksud:



"Jadikanlah Sabar dan Solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Yakni) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya" [Surah Al-Baqarah : ayat 45-46].

 

 



Fadhilat Ayat Kursi

surah :Al-baqarah: ayat 255. yang bermaksud,

"Allah tidak ada tuhan melainkan Dia yang hidup kekal lagi terus menerus mengurus makhlukNya, tidak mengantuk dan tidak pula tidur. KepunyaaNya segala apa yang ada di langit dan di bumi. Siapakah yang dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa izinNya? Allah mengetahui apa-apa yang ada di hadapan dan di belakang mereka dan mereka tidak menegtahui apa-apa dari ilmu Allah, melainkan apa yang dikehendakkiNya. Kursi (kekuasaan) Allah meliputi langit dan bumi dan llah tidak merasa berat memlihara keduanya dan Allah maha Tinggi lagi maha agung".

- (Bukhar Muslim)

Rasulullah saw, bersabda,

1. "Sesungguhnya seagung-agung ayat dalam al-Quran adalah ayat Kursi; Barangsiapa membacanya nescaya Allah mengutuskan malaikat untuk menulis dari kebaikan-kebaikannaya dan menghapus dari keburukan-keburukanNya dari ketika itu sampai esok hari".

2. Juga beliau bersabda: " Barangsiapa keluar dari rumahnya dan dibacanya ayat kursi maka Allah Ta'ala mengirim 70,000 malaikat yang meminta keampunan serta mendoakannya".

3. Dan beliau bersabda, " Barangsiapa pulang ke rumahnya dan dibacakan ayat kursi,maka Allah tanggalkan sifat fakir dari di antara kedua matanya."

4. "Barangsiapa membaca ayat kursi ketika hendak tidur, maka mia dijaga oleh dua malaikat hingga pagi hari".

5. "Barang siapa membaca Ayat Kursi dan menghadiahkan pahalanya kepada ahli kubur, maka Allah memasukkan empat puluh nur ke dalam setiap kubur dari dunia timur sampai ke dunia barat dan Dia luaaskan kubur itu serta didapatkannya pahala 60 nabi."


 


Bila Malaikat Mencabut Nyawa


Baginda Rasullullah S.A.W bersabda:

"Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai kelutut. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu."


Sambung Rasullullah S.A.W. lagi:


"Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibrail A.S. akan menebarkan sayapnya yang disebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya  di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada disekelilinginya. Ini  adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail A.S."

Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail A.S. akan menebarkan sayap disebelah kiri. Maka orang yang nazak tu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang disekelilinginya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya.


Dari sebuah hadis bahawa apabila Allah S.W.T. menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut.


Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata:

"Tidak ada jalan bagimu mencabut roh orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah S.W.T."

Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada Allah S.W.T. dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu.


Lalu Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:

"Wahai malaikat maut, kamu cabutlah ruhnya dari arah lain."

Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut pun cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan. Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluar penulisan ilmu.


Maka berkata tangan: Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dari arah ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah, tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan  tangan ini menulis ilmu pengetahuan."

Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata:


"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu."


Apabila gagal malaikat maut, mencabut roh orang mukmin dari arah kaki, maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata: 


"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Quran dan zikir."


Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut orang mukmin dari arah mata tetapi baru saja hendak menghampiri mata maka berkata mata:


"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini  sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah."

Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah S.W.T. Kemudian Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:


"Wahai malaikatKu, tulis AsmaKu ditelapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang berimanitu."


Sebaik saja mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut menghampiri roh orang itu dan menunjukkan Asma Allah S.W.T.

Sebaik saja melihat Asma Allah dan cintanya kepada Allah S.W.T maka keluarlah roh tersebut dari arah mulut dengan tenang.


Abu Bakar R.A. telah ditanya tentang kemana roh pergi setelah ia keluar dari jasad. Maka berkata Abu Bakar R.A:"Roh itu menuju ketujuh tempat:-

1. Roh para Nabi dan utusan menuju ke Syurga Adnin.
2. Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus.
3. Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina.
4. Roh para shuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka.
5. Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.
6. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.
7. Roh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka diseksa berserta jasadnya hingga sampai hari Kiamat."

Telah bersabda Rasullullah S.A.W: Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya:- 


1. Orang-orang yang mati syahid.
2. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan ramadhan.
3. Orang berpuasa di hari Arafah.





Fadhilat Bulan Rejab


Rasullullah s.a.w. bersabda; "Puasa 1 hari pada bulan Rejab seperti puasa 40 tahun dan diberi minum air dari syurga"

Rasullullah s.a.w. bersabda; "Puasa 1 hari pada bulan Rejab seperti mengerjakan ibadat seumurnya (sepanjang umurnya)."

Rasullullah s.a.w. bersabda; "Puasa 3 hari dalam bulan Rejab,dijadikan parit yang panjang yang menghalangkan dia ke Neraka (panjangnya setahun perjalanan)"

Rasullullah s.a.w. bersabda; "Sesiapa berpuasa 3 hari pada bulan Rejab dan beribadat pada malamnya (berjaga)seperti dia berpuasa 3,000 tahun, diampunkan baginya 70 dosa-dosa besar tiap-tiap hari, ditunaikan 70 hajat ketika keluar nyawanya daripada jasadnya,70 hajatnya di dalam kuburnya, 70 hajat ketika terbang suhuf (ketika Quran dinaikkan ke langit) 70 hajat ketika ditimbang amalannya di Mizan,70 hajat ketika berlalu di atas titi Sirotolmustaqim."


Rasullullah s.a.w. bersabda; "Puasa 4 hari dalam bulan Rejab akan  diafiatkan dia daripada bala dan daripada penyakit yang besar-besar, dan daripada fitnah dajal pada hari Kiamat."


Rasullullah s.a.w. bersabda, "Puasa 5 hari pada bulan Rejab, aman daripada azab kubur."


Rasullullah s.a.w. bersabda; "Puasa 6 hari pada bulan Rejab, keluar dari kubur bercahaya mukanya."


Rasullullah s.a.w. bersabda; "Puasa 7 hari dalam bulan Rejab akan ditutup daripadanya 7 pintu Neraka."


Rasullullah s.a.w. bersabda; "Puasa 8 hari dalam bulan Rejab akan dibuka baginya 8 pintu Syurga."


Rasullullah s.a.w. bersabda; "Puasa 9 hari pada bulan Rejab keluar dari kuburnya lalu tidak ditolak dia dari masuk Syurga."


Rasullullah s.a.w. bersabda; "Puasa 10 hari pada bulan Rejab, dijadikan 2 sayap, terbang seperti kilat diatas titian Sirotolmustaqim pada hari Kiamat."


Rasullullah s.a.w. bersabda; "Puasa 10 hari pada bulan Rejab, Allah akan menjadikan baginya hamparan perhentian di titian Sirotolmustaqim pada tiap-tiap satu batu."


Rasullullah s.a.w. bersabda; "Puasa 15 hari pada bulan Rejab adalah sama seperti berpuasa 100,000 tahun."


Rasullullah s.a.w. bersabda; "Puasa 16 hari pada bulan Rejab akan dapat melihat wajah Allah di dalam syurga,dan akan menjadi orang yang pertama menziarahi Allah didalam Syurga."


Rasullullah s.a.w. bersabda; "Puasa 19 hari pada bulan Rejab akan dibina baginya sebuah mahligai di hadapan mahligai Nabi Ibrahim dan Nabi Adam."


Rasulullah s.a.w. bersabda; "Puasa 20 hari pada bulan Rejab, diampunkan segala dosanya yang telah lalu. Maka mulailah beramal barang yang tinggal daripada umurnya (pembaharuan umur)."


Rasullullah s.a.w. bersabda; "Puasa bulan Rejab, wajib baginya diampunkan dosanya yang lalu, dipeliharakan Allah umurnya yang tinggal dan terlepas dari dahaga pada hari Kiamat."


Rasullullah s.a.w. bersabda; "Puasa pada awal Rejab, pertengahan dan akhirnya seperti berpuasa sebulan pahalanya"


Rasullullah s.a.w. bersabda; "Orang yang lemah dari berpuasa pada bulan Rejab hendaklah bersedekah tiap-tiap hari  sekurang-kurangnya sebuku roti"


Rasullullah s.a.w. bersabda; "Sesiapa melapangkan kekeruhan, kesusahan dan kepicikan orang Mukmin pada bulan Rejab dikurniakan Allah kepadanya mahligai yang besar di dalam syurga Firdaus"


Rasullullah s.a.w. bersabda, "Bulan Rejab Syahrullah (bulan Allah) diampunkan dosa orang yang meminta ampun dan bertaubat kepada Allah."



Make a Free Website with Yola.